AMPANG: Penghuni flat Pandan Jaya, di sini, bimbang kediaman mereka runtuh seperti kejadian Highland Towers selepas keretakan berlaku di beberapa bahagian bangunan lima tingkat itu akibat gegaran daripada kerja menanam cerucuk projek pembinaan perumahan berhampiran.

Berikutan itu, penghuni dari 15 blok flat terjejas membantah projek membabitkan pembinaan tiga blok pangsapuri 15 tingkat atas faktor keselamatan dan mendesak pihak berkuasa tempatan (PBT) mengeluarkan jaminan kepada mereka.


Selain itu, penduduk mahu pemaju perumahan terbabit meletak draf bank RM25 juta kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sebagai ganti rugi sekiranya berlaku kejadian tidak diingini ke atas rumah mereka sepanjang lima tahun projek itu dijalankan.

Penghuni, Ibrahim Jamaluddin, 57, berkata, gegaran itu mula dirasai 2,400 penghuni blok L1 hingga L15 berusia 26 tahun itu sejak dua minggu lalu setiap kali kerja menanam cerucuk dijalankan.


“Kerja pembinaan pangsapuri terbabit bermula sejak dua bulan lalu dan dijangka siap dalam lima tahun. Kejadian gegaran ini adalah yang pertama berlaku sehingga menyebabkan keretakan di beberapa bahagian blok,” katanya.


Menurutnya, gegaran itu turut menyebabkan longkang flat berkenaan mendap dan kejadian paling teruk dialami penghuni berlaku Rabu lalu sebelum mereka mendesak pemaju segera memberhentikan kerja pembinaan.

“Saya dan beberapa penghuni ke pejabat pemaju untuk memaklumkan mengenai masalah gegaran itu, namun mereka enggan berjumpa. Kami kecewa dengan sikap pemaju yang tidak mempedulikan keselamatan penghuni,” katanya.


Ibrahim berkata, sehingga kini, PBT termasuk pemaju belum membuat pemeriksaan ke atas keretakan di blok terjejas itu walaupun masalah itu sudah diadukan kepada pihak berkaitan.


“Kami tidak tahu sama ada rumah ini selamat diduduki atau tidak dan bimbang kejadian seperti Highland Towers berlaku sekiranya masalah ini tidak diselesaikan,” katanya.


Sementara itu, Ketua Biro Guaman MCA Pandan, Gary Lim berkata, pihaknya sudah membuat pemeriksaan dan perbincangan lanjut dengan penghuni sebaik menerima aduan daripada mereka.